
Segala puji bagi Allah s.w.t.Semata dan Shalawat serta Salam Semoga Senantiasa Tercurahkan kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi Wa Sallam Yang Tiada Nabi Setelahnya.





Yaa Razaq, Yaa Fattah, Yaa A'lim’ MOHON LAH..MOHON LAHH ...
Jadikan Nama-Nama ALLAH S.E.T. sebagai ZIKIR , Amalan Harian .

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Kita selaku umat Islam diwajibkan beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana ia merupakan Rukun Iman yang pertama. Beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala adalah dengan mengenal Allah dan mengenal sifat-sifat-Nya.
Selain itu, kita hendaklah merenung dan berfikir tentang kebesaran-Nya, keagungan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala yang telah mencipta alam semesta ini. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Fat-h ayat 9, tafsirnya:
"Kami mengutusmu wahai Muhammad supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan supaya Kamu kuatkan agama-Nya serta memuliakan-Nya dan supaya Kamu beribadat kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."

Umat Islam juga hendaklah mengetahui nama-nama Allah kerana dengan demikian insya-Allah akan tertanamlah iman yang kuat dalam dada dengan penuh kesedaran dan ketaqwaan.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Allah Subhanahu Wata'ala mempunyai 99 nama. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam hadis Baginda, maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda: Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, iaitu 100 kurang satu, barangsiapa yang menghitung nama-nama itu akan dimasukkan ke Syurga."
Adapun maksud dari perkataan ‘menghitung nama-nama Allah’ dalam hadis tersebut bukanlah mengira atau membilang jumlah banyaknya semata-mata, akan tetapi ialah dengan mencari dan memahami erti serta memohon atau berdoa dengan-Nya dan berulang-ulang menyebut-Nya seperti menjadikannya zikir.

Menjadikan nama-nama Allah itu sebagai zikir iaitu menjadikannya amalan harian adalah yang seelok-eloknya. Apabila berzikir dengan-Nya hendaklah ditambah perkataan ‘Yaa’ pada awalnya seperti ‘Yaa Razaq, Yaa Fattah, Yaa A'lim’ dan seterusnya.
Perkataan ‘Yaa’ merupakan seruan atau doa iaitu menyeru nama Allah. Berdoa atau memohon sesuatu kepada Allah adalah elok dengan menyebut nama-nama-Nya dengan penuh keinsafan dan penuh keyakinan.

sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-A'raaf ayat 180, tafsirnya:
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik yang mulia maka serulah dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu."
Ketahuilah bahawa kalimah Lafzul Jallallah (Allah) disebut dalam Kitab Suci Al-Qur'an sebanyak 2,696 kali.

Oleh yang demikian, maka wajib bagi setiap orang-orang Islam menghormati dan mengagungkan kalimah Lafzul Jallallah (Allah) yang suci itu. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Anfaal ayat 2, tafsirnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, adalah orang-orang yang bila disebut nama Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepadanya, bertambah imannya, sedangkan mereka itu bertawakal kepada Tuhannya."
Kita selalu mendengar dan melihat keajaiban-keajaiban yang telah ditunjukkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada manusia, seperti awan yang berbentuk kalimah Allah, badan ikan yang tertera kalimah Allah dan bermacam-macam lagi.





Ini jelas membuktikan betapa keagungan, kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala itu untuk dijadikan renungan dan diambil iktibar serta pengajaran daripadanya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Fush Shilat ayat 53, tafsirnya:
"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur'an itu adalah benar."


Marilah kita sama-sama membesarkan dan mengagungkan kalimah Lafzul Jallallah dan nama-nama Allah yang lainnya dengan menjadikannya zikir sebagai amalan dalam kehidupan dan memahami serta menghayati makna dari nama-nama tersebut.
Mudah-mudahan kita semua tergolong ke dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk dan hidayah serta keredaan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin ya Rabbalalamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Hasyr ayat 23-24, tafsirnya:
"Dialah Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang menguasai sekalian alam, yang Maha Suci, yang Maha Selamat Sejahtera dari segala kekurangan yang melimpahkan keamanan, yang Maha Pengawal serta Pengawas, yang Maha Kuasa, yang Maha Kuat Menundukkan segala-galanya, yang melengkapi segala kebesaran-Nya.
Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengan-Nya. Dialah Allah yang menciptakan sekalian makhluk, yang mengadakan dari tiada kepada ada, yang membentuk rupa makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya, bagi-Nyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya, bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi dan Dialah yang tidak ada tolak bandingnya, lagi Maha Bijaksana."







Mencari RedhaMU
- zawawi -
All For One, One For All.
Wassalam

Tidak ada komentar:
Posting Komentar